Lembaga Beradat Kebangsaan Silat Seni Gayong


Dato' Mahaguru Meor Abdul Rahman

Selamat Datang Ke Lembaga Beradat KebangsaanAmanat-amanat kepada ahli GayongLembaga Beradat KebangsaanMajlis Tertinggi GurulatihPertubuhan Silat Seni Gayong MalaysiaMaklumat majlis-majlis pertabalanNama-nama sandangPengumuman penting dan pekelilingBerita-berita terkiniBuku-buku, risalah dan terbitan-terbitan Lain

Jawapan kepada soalan-soalan yang lazim ditanyaHubungi kami

Struktur organisasi Gayong Penerangan lambang Gayong Penerangan bendera Gayong Matlamat Gayong Sahsiah Gayong Pendidikan Gayong
 

 

PENDIDIKAN DALAM GAYONG

 

Pada zaman silam, gelaran kebangsawanan seperti Dato' Bendahara, Dato' Laksamana, Dato' Temenggong, Dato' Bentara Raja dan lain-lain jawatan Orang Besar Istana hanya dimiliki individu yang mempunyai sifat dan kebolehan tertentu sahaja. Antara kebolehan yang begitu dipandang tinggi ialah kepakaran bersilat atau bergayong. Dato' Bendahara Tun Perak, Dato' Laksamana Hang Tuah, Dato' Megat Terawis, Dato' Maharaja Lela, Dato' Bahaman dan Orang Kaya Semantan, sekadar menyebut beberapa nama sahaja adalah pentadbir dan pendekar handalan.

Walaupun pendidikan yang diterima oleh masyarakat ketika itu terhad melalui pengalaman peribadi, guru-guru agama dan silat, namun bangsa Melayu telah berjaya membina tamadun dan empayar yang kuat.

Sejarah membuktikan orang Melayulah bangsa terkuat di rantau Asia Tenggara. Mereka sanggup pada bila-bila masa berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa rasa takut malah dengan penuh komitmen.

Sifat-sifat yang disebutkan tadi dididik dan ditanam ketika anak-anak Melayu menjalani latihan silat yang amat menitikberatkan ketaatan, keberanian, disiplin diri dan kerjasama. Pelajaran dan falsafah Silat Seni Gayong boleh dan telah dijadikan alat untuk mencapai kualiti di atas. Bagi mereka yang telah mempunyai kualiti sedemikian, melalui Silat Seni Gayong mereka dapat dibimbing ke halatuju yang diredhai Allah SWT.

Silat Seni Gayong pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana muridnya dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Ia adalah satu wadah di mana matlamatnya ialah untuk memelihara kesucian agama Islam, memimpin bangsa dan negara ke arah perpaduan serta hidup yang harmoni atas landasan Syariat Islam.

Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri :

a. huruf Ga mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan allahyarham Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung persilatan Melayu moden.

b. huruf Alif mewakili Angkat. Ia bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan ketuanan Melayu. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.

c. huruf Ya ialah yakin, bahawasanya kita beriman dengan kebenaran al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW serta segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah SWT. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.

d. huruf Wau ialah waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang bakal diambil. Ia menggambarkan bahawa seseorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.

e. Manakala huruf Nga pula memberi erti ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah SWT dan azab seksaan-Nya, ngeri atau kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamerkan Silat Seni Gayong.

Lima huruf di atas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucap dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, berzakat dan mengerjakan fardhu Haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong mestilah menjaga kewajiban mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seseorang murid Gayong itu terpancar melalui keupayaan melaksana segala titah perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan di atas barulah dianggap seorang murid Gayong itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.

 

Hakcipta Terpelihara © 2001 Gayong Maju Enterprise
Untuk pertanyaan dan sebarang masalah berkenaan laman web ini sila hubungi

webmaster@gayong.org

Laman Web ini diselenggarai oleh ZiGA Resources (M) Sdn. Bhd.